Nahas helikopter di Kalimantan Barat, seorang warga Malaysia antara mangsa
18:04 Apr 17, 2026  |  By SabahKini2
Nahas helikopter di Kalimantan Barat, seorang warga Malaysia antara mangsa

Helikopter dengan nombor pendaftaran PK-CFX itu dilaporkan terhempas di Puncak Nanga Kiungkang, Desa Tapang Tingang, Kecamatan Nanga Taman, yang mempunyai cerun curam sekitar 65 darjah.

SEKADAU: Lapan individu dilaporkan maut selepas sebuah helikopter jenis Airbus H130 terhempas di kawasan lereng bukit di Kabupaten Sekadau, Kalimantan Barat, Indonesia, pada Rabu.

Helikopter dengan nombor pendaftaran PK-CFX itu dilaporkan terhempas di Puncak Nanga Kiungkang, Desa Tapang Tingang, Kecamatan Nanga Taman, yang mempunyai cerun curam sekitar 65 darjah.

Menurut jurucakap Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Mohammad Syafii, kesemua mangsa ditemukan di lokasi kejadian.

“Tujuh mangsa ditemukan di dalam helikopter, manakala seorang lagi tercampak keluar kira-kira satu meter dari lokasi nahas.

“Operasi mengeluarkan mangsa berdepan kesukaran berikutan keadaan muka bumi yang curam dan diliputi hutan tebal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya dikumpulkan sekitar jam 10.03 malam sebelum proses pengecaman awal dilakukan.

Jenazah kemudian dibawa ke puncak bukit sebelum dipindahkan ke pusat operasi mencari dan menyelamat.

Pada Jumaat pagi, kesemua mangsa dihantar ke Markas Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Darat 642 Kapuas di Sanggau sebelum diterbangkan ke Bandara Supadio, Pontianak menggunakan helikopter Super Puma.

Seterusnya, jenazah dibawa ke Hospital Bhayangkara Pontianak untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Helikopter berkenaan dilaporkan berlepas dari kawasan perkebunan PT Citra Mahkota di Kecamatan Menukung, Kabupaten Melawi menuju ke Kabupaten Kubu Raya pada jam 8.34 pagi.

Bagaimanapun, kira-kira lima minit selepas berlepas, helikopter itu dilaporkan hilang hubungan dengan menara kawalan.

Basarnas kemudian mengesan isyarat kecemasan melalui satelit LEOSAR dalam sistem COSPAS-SARSAT pada jam 9.15 pagi menerusi pancaran Emergency Locator Transmitter (ELT).

Berdasarkan manifest, mangsa terdiri daripada dua kru dan enam penumpang.

Seorang daripada mangsa dipercayai warga Malaysia, namun identitinya masih belum dikenal pasti.

Comment