NRES: Keluasan sebenar Pulau Sebatik libatkan 123 hektar sahaja
18:04 Apr 17, 2026  |  By SabahKini2
NRES: Keluasan sebenar Pulau Sebatik libatkan 123 hektar sahaja

Menurut beliau, melalui penjajaran semula sempadan itu, Malaysia turut memperoleh perluasan wilayah seluas lima hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia.

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan bahawa keluasan kawasan di Pulau Sebatik yang kini berada dalam wilayah Indonesia adalah sebanyak 123 hektar, dan bukannya 127.3 hektar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata angka tersebut adalah berdasarkan rekod rasmi hasil pemuktamadan jajaran sempadan antara Malaysia dan Indonesia yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) pada 18 Februari 2025.

Menurut beliau, melalui penjajaran semula sempadan itu, Malaysia turut memperoleh perluasan wilayah seluas lima hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia.

“Kementerian merujuk laporan bertarikh 15 April 2026 yang bertajuk ‘127.3 hektar Pulau Sebatik kini milik Indonesia’. Kenyataan tersebut tidak tepat dan tidak selaras dengan rekod rasmi yang telah dipersetujui kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Pulau Sebatik dilakukan secara pakej bersama penyelesaian di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai.

“Hasil daripada penyelesaian di kawasan Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, Malaysia memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar,” tambahnya.

Secara keseluruhan, penjajaran semula sempadan ini merupakan hasil persetujuan bersama antara Malaysia dan Indonesia bagi memastikan garis sempadan yang lebih jelas serta mengelakkan sebarang pertindihan tuntutan wilayah pada masa hadapan.

Comment