KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berlangsung di Dewan Hakka, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat meluangkan masa bersama barisan kepimpinan parti komponen dalam suasana penuh mesra sempena sambutan perayaan itu.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam serta Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, selain pemimpin kanan PBS dan GRS.
Majlis berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan gambus, nyanyian serta persembahan khas yang menceriakan tetamu yang hadir.
Dalam pada itu, jemputan anak-anak yatim turut disantuni apabila menerima sumbangan sebagai tanda keprihatinan sempena Aidilfitri.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara memotong kek sebagai simbolik sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran PBS.
Antara yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Jahid Jahim; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai serta Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam.

