Maritim Malaysia patahkan penyeludupan LPG bersubsidi ke negara jiran
16:04 Apr 13, 2026  |  By SabahKini2
Maritim Malaysia patahkan penyeludupan LPG bersubsidi ke negara jiran

Operasi tersebut dilaksanakan susulan risikan terhadap pergerakan mencurigakan sebuah bot kargo di kawasan berkenaan. Bot peronda yang menjalankan rondaan segera digerakkan bagi memintas sasaran.

TAWAU: Cubaan menyeludup keluar 30 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran berjaya dipatahkan dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Tawau, semalam.

Operasi tersebut dilaksanakan susulan risikan terhadap pergerakan mencurigakan sebuah bot kargo di kawasan berkenaan. Bot peronda yang menjalankan rondaan segera digerakkan bagi memintas sasaran.

Bot terbabit dikesan bergerak dari Jeti Batu 3 menuju ke arah Pulau Sebatik sekitar jam 6.20 pagi sebelum berjaya ditahan kira-kira 1.6 batu nautika dari lokasi asal.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun bertindak sebagai juragan, membawa 30 tong LPG tanpa permit sah, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Siasatan awal turut mendapati individu tersebut tidak tersenarai dalam lesen bot yang digunakan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan operasi bot berkenaan.

Susulan itu, juragan bersama bot dan muatan dibawa ke jeti penguat kuasa untuk tindakan lanjut. Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin dan muatan LPG dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa pemantauan akan terus dipertingkatkan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’, memandangkan sindiket dipercayai menggunakan taktik bergerak pada waktu sunyi bagi mengelakkan dikesan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.

Comment