SEMPORNA: Sembilan rumah, sebuah stor dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Jalan Pinggir Bakau, Semporna, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Rastam Keladi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada 1.51 tengah hari sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian.
Beliau berkata seramai 21 anggota digerakkan ke lokasi, terdiri daripada 15 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna serta enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna.
“Kebakaran melibatkan sembilan rumah jenis tidak kekal, sebuah stor FMK Smart Hardware dan sebuah kedai runcit yang terbakar 100 peratus. Lokasi kejadian terletak kira-kira satu kilometer dari balai,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air, manakala sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Seorang wanita berusia 53 tahun ditemui pengsan di lokasi sebelum diberi rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kebakaran berjaya dikawal pada 2.29 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.30 petang selepas pemeriksaan memastikan tiada lagi punca api serta kawasan selamat.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

