KOTA KINABALU: Seramai 5,860 penduduk daripada 2,067 ketua isi rumah (KIR) terjejas akibat banjir yang melanda lima daerah di Sabah setakat tengah hari ini.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN) memaklumkan, daerah Tenom mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 3,544 orang daripada 1,207 KIR melibatkan 46 kampung.
Beaufort merekodkan 1,462 mangsa daripada 513 KIR melibatkan 58 kampung, diikuti Membakut dengan 435 mangsa daripada 171 KIR di 16 kampung.
Di Sipitang, seramai 340 mangsa daripada 151 KIR terjejas melibatkan 22 kampung, manakala Sook mencatat 79 mangsa daripada 25 KIR di empat kampung.
Secara keseluruhan, 146 kampung terjejas akibat banjir di lima daerah berkenaan.
Semua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka secara berperingkat sejak 25 Februari lalu.
Di Beaufort, lima PPS masih beroperasi termasuk Pusat Pemindahan Kekal Selagon, Dewan DUN Banir, Dewan Kesenian dan Kebudayaan Bisaya, Dewan Residensi PR1MA Woodford Estate serta Masjid Darul Ikhlas.
Di Membakut, tiga PPS dibuka iaitu Dewan Kesenian Islam, SMK Membakut dan SMK St Patrik.
Di Sipitang, dua PPS masih aktif iaitu Dewan SK Padang Berampah dan Dewan SMK Padang Berampah, manakala Dewan Mini Mesapol telah ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang.
Di Sook, Dewan SLDB Dalit Gana kekal beroperasi menempatkan semua mangsa dari daerah berkenaan.
Tenom merekodkan jumlah PPS paling banyak dengan 18 pusat masih aktif, antaranya Dewan Sri Antanaros, Rumah Kebudayaan Maugus, SJK (C) Chung Hwa dan Dewan Terbuka Labut 2.
Tiada kematian direkodkan setakat laporan dikeluarkan.
Statistik harian turut menunjukkan peningkatan jumlah mangsa sejak 26 Februari, daripada 5,532 orang pada jam 8 pagi kepada 5,860 orang setakat jam 12 tengah hari, manakala jumlah KIR meningkat daripada 1,943 kepada 2,067 dalam tempoh sama.

