KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman hari ini merasmikan Kompleks Anak Yatim As Sakinah di Taman Pantai, Lok Kawi, yang berfungsi sebagai pusat perlindungan, pendidikan dan pembangunan sahsiah untuk anak-anak yatim serta golongan asnaf.
Beliau berkata kompleks berkenaan bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, sebaliknya berperanan sebagai institusi membentuk jati diri, pendidikan dan kemahiran hidup penghuni.
“Saya berharap pengurusan kompleks akan terus memperkukuh aspek pendidikan dan pembangunan rohani agar anak-anak mampu berdikari serta menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya selepas majlis perasmian itu.
Musa turut melahirkan rasa gembira apabila beberapa penghuni kompleks berkenaan berjaya melanjutkan pengajian ke universiti di seluruh negara.
Beliau berkata kehilangan ibu atau bapa bukan pengakhiran kehidupan, sambil mengingatkan bahawa ramai tokoh besar dalam sejarah Islam dan dunia pernah melalui pengalaman sebagai anak yatim sebelum mencapai kejayaan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada dermawan, syarikat korporat dan individu yang menyumbang dari segi kewangan, tenaga serta sokongan moral bagi menjayakan pembinaan kompleks tersebut.
Musa turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah, Haji Samin Ongki, atas usaha membangunkan kemudahan itu.
Katanya, pembinaan kompleks berkenaan mencerminkan keprihatinan umat Islam terhadap golongan memerlukan dan menegaskan bahawa menjaga anak yatim merupakan tuntutan penting dalam ajaran Islam.

