PRN Sabah: Semua pusat undi awal ditutup sepenuhnya jam 5 petang tadi
19:11 Nov 25, 2025  |  By SabahKini2
PRN Sabah: Semua pusat undi awal ditutup sepenuhnya jam 5 petang tadi

Seramai 24,426 pengundi layak menunaikan hak mereka, hari ini, terdiri daripada 11,697 anggota tentera berserta pasangan masing-masing, manakala 12,729 lagi adalah anggota polis bersama pasangan.

KOTA KINABALU: Semua 58 pusat pengundian awal untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-17, ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang ini.

Penutupan pusat pengundian terbabit dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan dan jumlah pengundi berdaftar, selepas ia dibuka tepat pada jam 8 pagi tadi.

Seramai 24,426 pengundi layak menunaikan hak mereka, hari ini, terdiri daripada 11,697 anggota tentera berserta pasangan masing-masing, manakala 12,729 lagi adalah anggota polis bersama pasangan.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi setakat jam 3 petang tadi direkodkan pada 91 peratus atau 17,333 pengundi.

Angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding PRN 2020 yang mencatat peratusan keluar mengundi awal sebanyak 56.45 peratus atau 11,781 pengundi pada jam yang sama.

Semua kertas undi awal akan disimpan di balai polis yang ditetapkan, dan dikira selepas tamat waktu pengundian pada Sabtu ini.

SPR menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah yang ke-17 membabitkan sejumlah 1.76 juta pengundi.

Comment