Polis tahan 4 individu terkait kes khianat, sebar maklumat palsu di Tawau
19:11 Nov 25, 2025  |  By SabahKini2
Polis tahan 4 individu terkait kes khianat, sebar maklumat palsu di Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan itu adalah hasil tindakan pantas pasukan siasatan dalam menangani laporan yang diterima sejak hari penamaan calon.

TAWAU: Polis menahan empat individu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-17 di daerah ini, susulan beberapa insiden membabitkan perbuatan khianat dan penyebaran maklumat palsu dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan itu adalah hasil tindakan pantas pasukan siasatan dalam menangani laporan yang diterima sejak hari penamaan calon.

Hingga kini, beliau berkata, tujuh laporan polis diterima sepanjang tempoh kempen PRN di daerah ini, dengan lima kertas siasatan telah dibuka.

"Tiga daripadanya disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (perbuatan khianat), selain masing-masing satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Empat lelaki ditahan kerana disyaki terbabit insiden dilaporkan. Antaranya, perbuatan merosakkan bendera parti serta mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah atau tidak benar dalam media sosial," katanya kepada pemberita selepas mengundi awal di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, hari ini.

Jasmin berkata, kes berkenaan termasuk dakwaan penyebaran fitnah terhadap seorang calon bertanding, yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Kertas siasatan sudah disiapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang, bagi memastikan kempen PRN berlangsung secara aman serta terkawal. Dalam pada itu, Jasmin berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi menjelang hari pengundian pada 29 November ini.

Beliau berkata, ia membabitkan penugasan seramai 456 pegawai dan anggota, termasuk kawalan di dua pusat penjumlahan undi di Dewan Masyarakat Tawau dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chin.

"Kita mahu memastikan keselamatan pengundi, petugas dan proses pilihan raya berada pada tahap terbaik," katanya.

Comment