SPR optimis cecah 70 peratus rakyat Sabah akan keluar mengundi 29 Nov
19:11 Nov 25, 2025  |  By SabahKini2
SPR optimis cecah 70 peratus rakyat Sabah akan keluar mengundi 29 Nov

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata keyakinan itu bersandarkan komitmen tinggi anggota keselamatan yang turun awal menunaikan tanggungjawab mereka serta momentum kesedaran pengundi yang semakin meningkat.

TAWAU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) optimis kadar keluar mengundi pada pilihan raya Sabah mampu mencecah sekitar 70 peratus pada 29 November ini berdasarkan perkembangan positif pengundian awal hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata keyakinan itu bersandarkan komitmen tinggi anggota keselamatan yang turun awal menunaikan tanggungjawab mereka serta momentum kesedaran pengundi yang semakin meningkat.

Katanya, sehingga jam 11 pagi, sebanyak 61.72 peratus daripada 24,426 anggota tentera, pasangan, polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menunaikan undi awal di 58 pusat mengundi awal di seluruh Sabah melibatkan kesemua 73 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Alhamdulillah, peratusan sehingga jam 11 pagi ini amat memberangsangkan. Dengan trend ini, kita menjangkakan kadar keluar mengundi awal mungkin mencecah sehingga 90 peratus menjelang penutupan pusat undi pada jam 5 petang.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang turun awal,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Pusat Mengundi Awal DUN Sri Tanjong di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Mengulas unjuran hari pengundian pada 29 November nanti, Ramlan berkata SPR tidak mengeluarkan jangkaan rasmi, namun pihaknya optimis sekitar 70 peratus pengundi umum akan keluar mengundi.

“Ia satu angka yang tinggi, tetapi kita optimis, dengan trend yang ada hari ini, kita berharap semangat sama akan diteruskan pada hari pengundian nanti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya keluar lebih awal kerana keadaan cuaca ketika ini tidak menentu.

“Kita bimbang cuaca yang berubah-ubah, termasuk hujan lebat atau banjir kilat. Jadi kami berharap pengundi merancang masa dan turun awal bagi mengelakkan kesesakan atau kesukaran pada saat akhir,” katanya.

Dalam masa sama, Ramlan berkata, SPR sudah bersiap siaga menghadapi kemungkinan cuaca buruk, termasuk banjir, di beberapa kawasan berisiko.

“SOP kita telah tersedia. Jika berlaku bencana, kita akan merujuk jawatankuasa bencana peringkat daerah dan negeri untuk langkah segera. Insya-Allah, kita bersedia memastikan proses pengundian berjalan lancar dan selamat,” katanya.

Beliau berkata SPR juga sentiasa memantau situasi semasa dan akan membuat penyesuaian mengikut arahan pihak berkuasa bencana. Ramlan turut merakamkan penghargaan kepada anggota tentera, polis dan PGA yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran proses pilihan raya.

“Mereka bukan sahaja menjaga keselamatan, tetapi turut menunjukkan contoh terbaik dengan turun awal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Comment