Undi awal untuk PRN Sabah ke-17 bermula 8 pagi
19:11 Nov 25, 2025  |  By SabahKini2
Undi awal untuk PRN Sabah ke-17 bermula 8 pagi

Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan 596 calon bertanding untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 74 daripadanya ialah calon yang bertanding atas tiket Bebas.

KOTA KINABALU: Seramai 24,426 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab hari ini bagi memilih wakil rakyat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Daripada jumlah itu, 11,697 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala 12,729 lagi adalah anggota polis serta pasangan.

Sebanyak 58 pusat pengundian awal akan dibuka serentak di seluruh negeri bermula tepat 8 pagi ini sebelum ditutup secara berperingkat.

Antara lokasi pusat mengundi awal ialah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, ibu pejabat polis daerah serta kem-kem tentera di seluruh negeri.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di beberapa tempat di seluruh negeri sepanjang hari ini.

Selepas selesai pengundian awal, semua kertas undi tidak akan dikira serta-merta, sebaliknya proses pengiraan akan dilaksanakan semasa hari pengundian pada 29 November ini.

Dengan selesainya proses pengundian awal hari ini, tumpuan kini beralih pada hari pengundian yang dijadualkan pada Sabtu.

Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan 596 calon bertanding untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 74 daripadanya ialah calon yang bertanding atas tiket Bebas.

Tempoh berkempen bagi PRN Sabah ke-17 yang bermula dari 15 November lalu akan berakhir pada 11.59 malam, 28 November.

Comment