PRN Sabah: Slogan 'Selamatkan Sabah' dilaungkan Warisan hanya untuk selamatkan diri sendiri' – Hajiji
22:11 Nov 24, 2025  |  By SabahKini2
PRN Sabah: Slogan 'Selamatkan Sabah' dilaungkan Warisan hanya untuk selamatkan diri sendiri' – Hajiji

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata slogan yang digunakan oleh parti berkenaan hanyalah untuk menyelamatkan diri mereka dan bukan negeri ini seperti dilaungkan parti berkenaan.

TUARAN: Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempersoalkan slogan 'Selamatkan Sabah' yang digunakan oleh Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata slogan yang digunakan oleh parti berkenaan hanyalah untuk menyelamatkan diri mereka dan bukan negeri ini seperti dilaungkan parti berkenaan.

"Saya nampak di jalan raya (poster) 'Selamatkan Sabah'. Apa yang diselamatkan Sabah? Saya setuju selamatkan Sabah daripada pendatang asing tanpa izin daripada masuk ke Sabah.

"Kita mahu selamatkan Sabah daripada ancaman luar, daripada negara jiran kita yang masih ada tuntutan kepada negeri Sabah. Sebenarnya mereka gunakan slogan ini untuk menyelamat diri mereka.

"Mereka ternyata gagal dalam perjuangan atau semasa memerintah negeri Sabah. Dua tahun setengah, gagal. Apa dia buat dua tahun setengah? Tidak ada," katanya ketika berucap pada Program Rakyat Bersama Rakyat di Pekan Kiulu, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri turut mempersoalkan pembangunan yang dibawa oleh Mohd Shafie kepada Sabah ketika menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini.

Selain itu, beliau turut menempelak kenyataan dibuat Mohd Shafie mengenai jalan raya di Sabah yang berdepan masalah berlubang.

"Sekarang pandai cakap jalan raya di Sabah berlubang-lubang. Tapi masa jadi menteri, apa dia buat? Ada dia buat jalan raya luar bandar di Sabah yang boleh kita banggakan? Bekalan elektrik luar bandar? Bekalan air luar bandar Sabah? Tidak ada," katanya.

Menyentuh mengenai manifesto GRS dalam PRN Sabah yang mengehadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal, Hajiji menyifatkan ia adalah perkara terbaik untuk rakyat negeri itu.

"Bagi kita, itu yang terbaik untuk Sabah. Tidak perlu lama-lama," katanya.

Sebelum ini beberapa gabungan parti dalam PRN Sabah menerusi manifesto mereka mengumumkan untuk menghadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal seperti GRS dan Barisan Nasional (BN).

Comment