KENINGAU: Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Bayangan menyaksikan sokongan luar biasa apabila calon GRS DUN Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, hadir bersama Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun bagi mendengar sendiri isu serta harapan penduduk.
Program jerayawara itu menjadi medan terus-terang rakyat menyampaikan keperluan mereka daripada prasarana asas, peluang ekonomi hingga kebajikan harian dengan mesej jelas bahawa mereka mahukan pemimpin yang dekat, responsif dan bekerja tanpa menunggu musim pilihan raya.
Dalam ucapan Masidi, beliau menggesa penduduk Liawan supaya mengekalkan GRS demi memastikan projek pembangunan yang sedang berjalan tidak tergantung.
“Jika Liawan mahu terus maju, kestabilan mesti dikekalkan. GRS sudah bekerja rakyat sudah nampak hasilnya. Jangan hentikan momentum ini,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kesinambungan mandat adalah faktor utama memastikan perancangan lima tahun lalu dapat diteruskan tanpa gangguan politik yang boleh melambatkan pembangunan.
Program ditutup dengan sesi interaksi mesra, menyaksikan orang ramai mengambil kesempatan berbincang secara langsung dengan Annuar dan Masidi.
Suasana penuh keakraban itu mencerminkan mesej utama program di Liawan, suara rakyat tetap menjadi keutamaan dan GRS berjanji untuk terus mendengar.

