KIULU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memastikan kestabilan politik di Sabah dengan menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hanya melalui kestabilan politik dan kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dapat membawa lebih banyak pembangunan dan melaksanakan rancangan untuk mewujudkan Sabah yang makmur.
Sehubungan itu katanya, penting bagi rakyat Sabah untuk terus menyokong GRS demi menjaga negeri ini sendiri.
"Kita memerlukan sokongan rakyat dan GRS mesti dikembalikan sebagai kerajaan dalam pilihan raya ini untuk memastikan kestabilan politik di Sabah,” katanya pada majlis bersama rakyat di Dewan Terbuka Kiulu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji yang juga calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman turut menolak dakwaan pembangkang kerajaan Persekutuan mengambil segala-galanya daripada Sabah.
"Sebagai sebuah negara, kita juga mesti mempunyai kerjasama yang kuat dengan Persekutuan. Tetapi itu tidak bermakna kita tunduk kepada mereka.
"Dalam setiap pertemuan, saya sentiasa tegas dan berpendirian kukuh dalam mempertahankan tuntutan hak-hak Sabah.
"Sehubungan itu, satu kerugian bagi negeri jika GRS tidak dapat meneruskan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya.
Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan kerajaan negeri pimpinan GRS telah gagal kerana keadaan yang berlaku adalah sebaliknya.
Menurutnya, pembangkang hanya mampu menjadi kerajaan negeri selama lebih dua tahun sahaja dan itu menunjukkan kegagalan pembangkang.
Beliau berkata, pembangkang juga telah kehabisan idea, penuh dengan retorik dan hanya membangkitkan isu tanpa isi.
Hajiji turut yakin, calon GRS kerusi DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai akan kembali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berikutan khidmatnya kepada para pengundi di kawasan itu.
"Dengan hanya empat hari lagi sebelum pilihan raya, saya menyeru rakyat untuk membuat pilihan yang tepat dan memastikan semua kejayaan yang telah kita capai dapat diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya

