SPRM nafi keluarkan mesej peringatan rasuah PRN Sabah yang tular di WhatsApp
00:11 Nov 22, 2025  |  By SabahKini2
SPRM nafi keluarkan mesej peringatan rasuah PRN Sabah yang tular di WhatsApp

SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya hanya mengeluarkan hebahan peringatan larangan terbabit rasuah menerusi platform rasmi termasuk menerusi media arus perdana.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nafi mengeluarkan mesej peringatan larangan terbabit rasuah yang tular di WhatsApp berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya hanya mengeluarkan hebahan peringatan larangan terbabit rasuah menerusi platform rasmi termasuk menerusi media arus perdana.

"SPRM berharap orang ramai sentiasa berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan mesej berkaitan dan tidak menjadi mangsa kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mengambil kesempatan bagi tujuan tertentu," kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, SPRM mengingatkan calon serta pengundi untuk tidak terbabit rasuah.

SPRM berkata, aduan rasuah atau rujukan boleh dibuat secara terus kepada Bilik Gerakan SPRM yang dibuka pada 10 November lalu di lima lokasi di Sabah.

"Cawangan yang dibuka termasuk Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Pejabat SPRM Cawangan Sandakan, Pejabat SPRM Cawangan Tawau, Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu dan Pejabat SPRM Cawangan Keningau," kata kenyataan itu.

Katanya, orang ramai boleh membuat laporan atau membuat rujukan menerusi saluran rasmi SPRM seperti di portal rasmi SPRM di alamat www.sprm.gov.my, Portal Aduan Rasuah SPRM di alamat www.portaladuan.sprm.gov.my, talian bebas tol 1800-88-6000 dan aplikasi MACC Mobile.

Comment