KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Tan Sri Anifah Aman meletakkan agenda pemerkasaan sektor pelancongan sebagai antara inti pati utama dalam manifestonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Beliau yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, ini kerana intipati digariskan itu berupaya membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk khususnya golongan belia.
Katanya, antara destinasi pelancongan yang berpotensi diperkasakan termasuk, Pantai Kenangan dan Eko-Pelancongan 'River Cruise' di Kampung Seri Serbang menerusi naik taraf prasarana dan kemudahan sedia ada.
"Pantai Kenangan adalah sebuah pantai yang indah dan menjadi tumpuan keluarga serta pengunjung luar dan potensinya lebih jauh daripada sekadar lokasi rekreasi. Dengan pembangunan terancang lokasi berkenaan boleh menjadi pusat aktiviti ekonomi baharu untuk penduduk setempat.
"Kita komited membangunkan kemudahan gerai pelancongan di Pantai Kenangan bagi membolehkan usahawan kecil termasuk belia dan wanita menjana pendapatan melalui makanan, kraftangan, produk desa dan aktiviti pantai," katanya dalam satu kenyataan.
Anifah menegaskan dengan adanya kemudahan gerai yang tersusun, bersih dan teratur dapat disediakan, bukan saja menarik lebih ramai pengunjung, tetapi membuka peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.
"Begitu juga eko-pelancongan Seri Serbang yang akan kita perkasakan melalui penambahbaikan jeti, latihan kepada operator pelancongan tempatan dan pembangunan pusat maklumat kecil untuk pelancong," katanya.
Anifah berkata, Bongawan sudah mempunyai produk pelancongan yang hebat, cuma belum dibangunkan secara maksimum dan apabila kedua-dua lokasi itu diperkasakan, ekonomi tempatan akan berkembang.
"Inilah matlamat saya untuk Bongawan, bukan janji kosong tetapi perancangan terarah dan dengan pendekatan holistik di bawah manifesto ini, kita yakin Bongawan mampu bangkit sebagai destinasi eko-pelancongan unggul.
"Pada masa sama, dapat membawa manfaat secara langsung kepada rakyat, sekaligus menjadi pusat ekonomi tambahan baharu kerana ekonomi pelancongan mesti dirasai oleh rakyat, bukan hanya syarikat besar," katanya.

