KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah bertekad serta berjanji menyempurnakan manifestonya yang meliputi segala aspek pembangunan strategik bersifat holistik dan inklusif, sejajar dengan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi tonggak pentadbiran kerajaan negeri.
Optimis GRS mampu menawan semula negeri ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan manifesto dibentang, satu deklarasi akujanji, komitmen dan perancangan strategik parti kepada rakyat Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, manifesto ini merangkumi pembangunan dalam pelbagai sektor ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, pembangunan modal insan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat, termasuk tuntutan ke atas hak Sabah sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Deklarasi akujanji, komitmen dan perancangan strategik GRS ini berdasarkan kepada empat tunjang utama perjuangan GRS dalam membela hak-hak rakyat dan kedaulatan Sabah iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah Ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah Yang Bersatu).
"Empat tunjang utama perjuangan ini sebenarnya sudah pun kita zahirkan semasa pelancaran GRS pada 28 Mei 2022. Berteraskan asas ini, maka kita tawarkan ia sebagai tunjang manifesto kita untuk membawa Sabah ke mercu kejayaan pada masa akan datang," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Hajiji yakin, dengan kerangka manifesto yang lebih komprehensif, berlandaskan iltizam dan komitmen ke arah Sabah yang progresif, makmur dan bersatu padu, GRS akan mendapat sokongan padu rakyat, sekali gus menguasai 55 kawasan DUN ditandinginya.
"Sesungguhnya, perjuangan GRS ini adalah dari rakyat dan untuk rakyat ke arah Sabah yang maju dan makmur, tanpa mengabaikan tanggungjawab kita sebagai warganegara yang sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang negara Malaysia," katanya.
GRS perlu mandat baharu rakyat
Sebelum ini, Hajiji memaklumkan GRS memerlukan mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan perancangan pembangunan bagi menjadikan Sabah setanding negeri lain.
Beliau yang akan mempertahan kerusi DUN Sulaman pada PRN kali ini berkata, melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, pentadbirannya sebelum ini sudah meletakkan asas kukuh untuk memacu Sabah sebagai sebuah negeri yang unggul dan disegani.
Sepanjang lima tahun pentadbiran GRS, banyak kejayaan dicapai melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ, dengan misi parti itu seterusnya untuk menempa kejayaan dalam SMJ 2.0.
SMJ 2.0 antara lain menetap sasaran jumlah hasil pendapatan negeri mencapai RM10 bilion, selepas menunjukkan momentum peningkatan positif setiap tahun, bermula RM5.45 bilion pada 2021, naik kepada RM6.96 (2022), RM6.97 bilion (2023) serta RM6.84 bilion, tahun lalu.

