SIPITANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan sebuah kapal tunda yang dikesan mencurigakan ketika melaksanakan Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0 pada jam 1.50 petang Isnin.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, kapal tunda berwarna biru itu dikesan anggota Bot Penggalang 24 ketika menuju ke Jeti Petronas Chemical Fertiliser Sabah, Sipitang.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan disyaki melakukan beberapa kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Kesalahan itu termasuklah gagal mengemukakan dokumen lengkap, berlayar tanpa Ketua Jurutera, tiada insurans kapal, tiada perjanjian kru, buku log pegawai tidak dikemas kini dan gagal mempamerkan sijil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, kapal terbabit kemudian diiringi ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan lanjut oleh Seksyen Siasatan Maritim Malaysia.
“Tindakan tegas diambil bagi memastikan keselamatan pelayaran dan pematuhan undang-undang maritim berada pada tahap optimum.
“Maritim Malaysia komited memperkukuhkan penguatkuasaan di kawasan perairan berisiko tinggi, khususnya kawasan industri dan laluan perdagangan,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 bagi membantu mengekalkan keselamatan perairan negara.

