KOTA KINABALU: Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) deklarasi aku janji, komitmen dan perancangan strategik kepada rakyat Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS berkata, manifesto GRS juga akan menentukan pembentukan kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) pada 29 November ini.
Menurutnya, pelancaran manifesto GRS PRU17 Sabah menampilkan satu gagasan, empat rukun dan 16 strategi pembangunan komprehensif sebagai landasan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, dengan bertemakan 'Rumah Kita, Kita Jaga-Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan', manifesto GRS bakal membawa Sabah ke satu era baharu yang lebih baik, selaras dengan usaha kerajaan GRS membangunkan negeri berpandukan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Maka pada hari ini, atas nama perjuangan dan komitmen Gagasan Rakyat Sabah, kita lancarkan Manifesto GRS sebagai deklarasi aku janji, komitmen dan perancangan strategik parti GRS kepada rakyat Sabah untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
"Deklarasi aku janji, komitmen dan perancangan strategik GRS ini berdasarkan kepada empat tunjang utama perjuangan GRS dalam membela hak-hak rakyat dan kedaulatan Negeri Sabah iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah Ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya), dan Sabah United (Sabah Yang Bersatu).
"Empat tunjang utama perjuangan ini sebenarnya telahpun kita zahirkan semasa pelancaran GRS pada 28 Mei 2022. Justeru, berteraskan asas ini maka kita tawarkan ia sebagai tunjang manifesto GRS untuk membawa Sabah ke mercu kejayaan pada masa akan datang," katanya pada majlis Pelancaran Manifesto GRS di sini hari ini.
Beliau berkata, GRS bertekad dan berjanji untuk menyempurnakan segala yang terkandung dalam manifesto berkenaan yang meliputi segala aspek pembangunan strategik bersifat holistik dan inklusif, sejajar dengan Dasar Hala Tuju SMJ, yang menjadi tonggak kepada kerajaan negeri.
Hajiji berkata, manifesto itu juga merangkumi pembangunan dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, pembangunan modal insan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat, termasuk tuntutan ke atas hak-hak Sabah sebagaimana yang jelas terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia.
"Sesungguhnya, perjuangan GRS ini adalah dari rakyat dan untuk rakyat ke arah Sabah yang maju dan makmur, tanpa mengabaikan tanggungjawab kita sebagai warganegara yang sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang negara Malaysia.
"Dengan kerangka manifesto yang lebih komprehensif berlandaskan iltizam dan komitmen ke arah Sabah yang progresif, makmur dan bersatu padu, saya yakin, GRS akan mendapat sokongan padu daripada rakyat, menguasai 55 kawasan DUN yang kita tandingi dan menguasai semula Kerajaan Negeri Sabah, Insya Allah," jelasnya.
Menurutnya, GRS bukan saja mampu mengekalkan kestabilan dan perpaduan, malah berupaya membawa perubahan dan kemajuan.
Jelasnya, kemampuan dan kesungguhan GRS dalam menyediakan asas-asas yang kukuh ke arah kemakmuran dan kesejahteraan sudah terbukti sejak lima tahun menerajui tampuk Kerajaan Negeri Sabah.
Sehubungan itu beliau berkata, GRS adalah pilihan terbaik untuk seluruh rakyat Sabah.
Katanya, GRS akan terus komited dalam usaha memaknai keberadaan GRS sebagai platform menyatukan parti-parti lokal.
Hajiji berkata, ia bagi membina kestabilan politik negeri sekali gus memperkukuhkan kuasa politik Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

