KOTA KINABALU: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor yakin tindakan beberapa individu yang berpindah parti atau bertanding sebagai calon Bebas, tidak menjejaskan kekuatan gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata, tindakan pihak terbabit adalah hak masing-masing kerana GRS terus kekal utuh dan kuat meskipun terdapat segelintir pemimpin yang bertindak meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah).
"GRS masih intact (kukuh)...masih kuat, walaupun ada beberapa pemimpin yang pindah parti, ada yang jadi calon Bebas, itu hak mereka.
"Tapi itu tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam pilihan raya kali ini. Kita juga ada strategi sendiri,” katanya kepada media selepas melancarkan Manifesto GRS di sini hari ini.
Hajiji berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu melibatkan beberapa pihak yang menarik diri daripada gabungan itu.
Mengenai calon Pakatan Harapan (PH) yang membuat keputusan menarik diri, beliau enggan mengulas lanjut berhubung isu itu kerana perkara berkenaan melibatkan calon PH.
"Itu dia tarik diri, itu parti PH. Saya tidak mahu komen,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan berkenaan akan memberi kelebihan kepada GRS di kerusi yang ditandingi.
Namun jelasnya, fokus GRS kini adalah untuk memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta memastikan gabungan itu memperoleh mandat jelas daripada rakyat Sabah.

