KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin tuntutan 40 peratus hasil Sabah boleh diselesaikan kurang dari tempoh lima tahun.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Sabah mampu menuntut hak itu lebih awal berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menetapkan ia perlu diselesaikan dalam tempoh 180 hari.
"Ia juga perlu ada persetujuan...kita jangan fikir dulu selepas itu, tapi pada peringkat awal kita kena work within the time frame yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
"Saya optimis kita akan dapat banyak daripada tuntutan itu dan bukan sahaja kadar interim. Kita harus berterima kasih dan berlaku adil kepada Perdana Menteri atas komitmen beliau dalam perkara ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto GRS Pilihan Raya Umum Sabah ke-17, di sini hari ini.
Beliau berkata, perkara utama adalah perlu ada kesatuan dalam kalangan pemimpin di Sabah bagi menguatkan lagi kuasa-kuasa untuk berbincang.
Katanya, GRS mempunyai rekod baik dan mempunyai kesatuan yang kukuh, ketegasan dan strategi dalam menuntut hak berkenaan.
"Kita tidak guna pendekatan konfrontasi yang akhirnya tidak menyelesaikan masalah," katanya.
Menurutnya, GRS sentiasa menggunakan cara yang melihat kepada 'Result-oriented'.
Armizan yakin kerajaan negeri yang akan ditadbir semula GRS akan menerima jumlah yang jauh lebih besar dari kadar interim RM600 juta yang sudah diterima Sabah.

