GRS fokus tingkat hasil kutipan cecah RM10 bilion menjelang 2030
01:11 Nov 18, 2025  |  By SabahKini2
GRS fokus tingkat hasil kutipan cecah RM10 bilion menjelang 2030

Beliau berkata, dana itu dicadangkan menerima suntikan modal awal permulaan daripada sebahagian rizab negeri semasa dan tambahan modal tahunan daripada sebahagian hak 40 peratus Pemberian Khas.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggariskan antara fokus keutamaan manifesto adalah untuk terus meningkatkan kutipan hasil setiap tahun dengan sasaran mencecah sekurang-kurangnya RM10 bilion menjelang 2030. 

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu akan dimaknai dengan strategi memperluas sumber hasil pendapatan negeri, antaranya melalui penerokaan potensi ekonomi biru, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, pemerdagangan kredit karbon.

"Selain memperkukuh momentum peningkatan hasil pendapatan tahunan, GRS juga akan merintis usaha untuk membina masa depan Sabah melalui pewujudan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (Sabah Sovereign Wealth Fund). 

"Strategi ini merupakan pelaburan jangka masa panjang bagi menjamin kemampanan, kestabilan dan lonjakan hasil pendapatan negeri untuk dinikmati generasi akan datang," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto GRS Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 hari ini.

Beliau berkata, dana itu dicadangkan menerima suntikan modal awal permulaan daripada sebahagian rizab negeri semasa dan tambahan modal tahunan daripada sebahagian hak 40 peratus Pemberian Khas.

Katanya, manifesto itu merupakan komitmen GRS untuk membangunkan Sabah dengan pendekatan realistik, pragmatik dan mampan.

"Dengan mandat daripada rakyat pada PRU Sabah ke-17, GRS bertekad dan berazam untuk memacu Sabah yang maju dan rakyatnya berkemajuan serta merintis pembinaan masa depan anak-anak generasi akan datang," katanya.

Dalam pada itu katanya, pembangunan negeri dan penyelesaian isu-isu legasi dan utama tidak boleh digerakkan hanya melalui menjual retorik janji dan mencanang sentimen kegagalan pihak lawan. 

Menurutnya, teras utama kepada keberkesanan sebarang bentuk strategi dan pendekatan penyelesaian adalah keupayaan hasil pendapatan negeri yang kukuh dan stabil. 

Comment