KOTA KINABALU: Semua 25 pusat penamaan calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ditutup pada jam 10 pagi ini, selepas dibuka selama sejam.
Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di PPC masing-masing. Dengan berakhirnya proses penamaan calon itu, maka bermulalah kempen PRN Sabah selama 14 hari seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu hingga 11.59 malam pada 28 November.
Tinjauan di beberapa PPC mendapati terdapat penyokong calon yang datang ke pusat penamaan calon dengan memakai pakaian tradisi kaum masing-masing.
Keadaan di PPC juga aman dan terkawal dengan tiada pihak yang membuat provokasi hasil kawalan rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.

