Bekas ADUN Inanam, Dr Roland Chia, hari ini mengumumkan bahawa beliau keluar daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan akan bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam pada pilihan raya negeri akan datang.
Pengumuman itu dibuat selepas Chia mendakwa menerima desakan serta sokongan daripada pengundi di Inanam, Kolombong dan Menggatal yang mahu beliau kembali mewakili kawasan tersebut.
“Ramai pengundi menyatakan hasrat dan sokongan mereka supaya saya mewakili mereka sekali lagi,” katanya
Beliau menegaskan keputusan meninggalkan Gagasan Rakyat dibuat “demi menghormati kehendak rakyat”.
Chia, yang pernah mewakili Inanam dari 2013 hingga 2018, menyerahkan perletakan jawatannya daripada Gagasan Rakyat berkuat kuasa semalam.
Perjalanan politik berliku
Dr Roland Chia sebelum ini meninggalkan PKR pada 2014. Beliau kemudian menyertai Bersatu pada 2020 sebelum meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sejurus selepas PRU15 pada November 2022.
Beliau kemudiannya menyertai Gagasan Rakyat bersama beberapa bekas pemimpin Bersatu Sabah.
Gagasan Rakyat beri amaran tegas
Terdahulu, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Razali Razi, menegaskan bahawa mana-mana ahli yang bertanding sebagai calon bebas dalam mana-mana pilihan raya akan dipecat serta-merta kerana ia melanggar disiplin parti.
Dengan pengumuman Chia hari ini, pemecatan beliau dianggap hanya menunggu proses formal.

