Allahyarham Zara seorang ‘happy go lucky’, tidak tunjuk tanda masalah mental – Saksi
18:11 Nov 12, 2025  |  By SabahKini2
Allahyarham Zara seorang ‘happy go lucky’, tidak tunjuk tanda masalah mental – Saksi

Saksi kanak-kanak ke-35 itu berkata Zara dikenali sebagai seorang yang 'happy go lucky' (sentiasa ceria) dan tidak menunjukkan tanda-tanda mempunyai masalah mental, kemurungan atau kesedihan.

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Kinarut, Sabah memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah pelajar yang sopan, periang serta aktif membantu guru serta rakan di sekolah sebelum kematiannya pada Julai lalu.

Saksi kanak-kanak ke-35 itu berkata Zara dikenali sebagai seorang yang 'happy go lucky' (sentiasa ceria) dan tidak menunjukkan tanda-tanda mempunyai masalah mental, kemurungan atau kesedihan.

Menurut saksi itu, Zara sering membawa dan membaca Al-Quran di surau sekolah serta dikenali sebagai pelajar junior yang rajin dan suka membantu ahli Badar.

"Saya selalu nampak Zara membawa Al-Quran dan dia selalu membacanya di surau sekolah. Zara juga pelajar junior yang menyerlah di sekolah, rajin dan suka membantu badar.

"Namun ada pelajar Tingkatan Dua yang tidak suka dengan perangai Zara kerana Zara suka tulis nama pelajar yang tidak solat," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, saksi memaklumkan pada malam kejadian, beliau berada bersama pelajar lain yang ketika itu sedang menggunakan mesin basuh, sekali gus mendengar pelajar lain bercakap buruk mengenai Zara.

"Seingat saya mereka cakap Zara "Sok-Sok Badar. Saya juga diberitahu oleh kawan bahawa Zara dipanggil ke sebuah dorm dan dimarahi oleh beberapa pelajar senior Tingkatan 4.

"Ada seorang pelajar senior dikatakan paling teruk memarahi Zara. Selepas kejadian itu Zara menangis dan dikatakan ada meminjam gunting daripada rakan dormnya," katanya.

Tambahnya, seingatnya pada minggu kejadian, ketua warden ada membuat pengumuman yang pelajar dilarang menghubungi ibu bapa dan arahan berkenaan adalah daripada pengetua.

"Larangan itu adalah selama dua hari daripada 16 Julai sehingga 18 Julai. Mereka hanya dibenarkan menghubungi ibu bapa pada jam 10 malam hari Jumaat, oleh sebab sekuriti, Aunty Linah, rimas ramai pelajar meminjam telefonnya.

"Disebabkan itu, Aunty Linah bertanya kepada Ustaz Azhari bagi pelajar menghubungi ibu bapa. Suasana pada masa itu takut dan ramai pelajar menangis," katanya.

Comment