KIULU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai bertekad untuk meneruskan pelan pembangunan menyeluruh yang dirancang bagi memperkukuh kemajuan Kiulu sekiranya diberi mandat sekali lagi sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Beliau berkata, pelan pembangunan itu adalah kesinambungan kepada pelbagai inisiatif yang dijalankan bersama rakyat Kiulu sejak mula mewakili kawasan itu pada 2013. Katanya, mandat daripada rakyat adalah amanah untuk memastikan setiap rancangan pelan pembangunan dapat direalisasikan.
“Kiulu sudah mempunyai asas yang kukuh, dan kita perlu terus bergerak ke fasa seterusnya,” katanya yang juga Ketua Penerangan GRS dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Joniston adalah bekas wartawan dan sebelum ini berkhidmat sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, selain Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di bawah pentadbiran GRS.
Beliau juga pernah memegang portfolio Pengerusi STB di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2013 hingga 2018 dan diumumkan sebagai calon GRS pada majlis Pengumuman Calon GRS di sini hari ini.
Selain itu, Joniston turut dikenali atas inisiatif dan sumbangannya dalam pembangunan pelancongan luar bandar dan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah, dengan menjadikan Kiulu sebagai projek perintis bagi inisiatif pelancongan luar bandar.
Menurutnya, usaha mengantarabangsakan pelancongan Kiulu akan diteruskan, dengan pelan pembangunan kawasan itu menumpukan kepada pengukuhan pentadbiran akar umbi, pemerkasaan sektor pertanian dan industri kecil, serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan kepimpinan kepada belia dan wanita.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan GRS, khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, serta Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui Kiulu.
Joniston berkata, jentera GRS kini aktif di lapangan bagi memperkukuh kerjasama dengan masyarakat setempat dan terus mendengar keperluan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Kiulu untuk terus bersatu dan menilai berdasarkan rekod kerja serta hasil yang telah dicapai.

