GRS bertanding 55 kerusi pada PRN Sabah ke-17
17:11 Nov 12, 2025  |  By SabahKini2
GRS bertanding 55 kerusi pada PRN Sabah ke-17

Dalam pada itu, ketika ditanya kenapa empat lagi nama calon belum diumumkan semalam, Hajiji menjelaskan ada calon yang tidak sempat hadir, namun perkara itu tidak menjadi isu.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding sebanyak 55 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah).

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan seramai 51 nama calon GRS hari ini dan empat lagi nama calon akan diumumkan esok.

Hajiji yang akan bertanding kerusi DUN Sulaman berkata, calon-calon GRS adalah gabungan mereka yang berpengalaman dengan orang-orang muda.

"35 peratus calon GRS adalah muka baharu. Jadi saya yakin calon-calon yang kita tampilkan ini adalah mereka yang boleh menang dalam pilihan raya ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Pengumuman Calon GRS PRU DUN Sabah Ke-17 di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya kenapa empat lagi nama calon belum diumumkan semalam, Hajiji menjelaskan ada calon yang tidak sempat hadir, namun perkara itu tidak menjadi isu.

Beliau juga mahu semua pihak menerima senarai nama calon GRS dengan hati terbuka dan terus bersatu hati.

Ini kerana pihaknya yakin, dengan bersatu hati, GRS mampu untuk menjadi kerajaan semula dan mentadbir negeri ini.

"Saya berharap dengan pengumuman calon-calon tadi, penyokong-penyokong GRS dan juga parti-parti komponen mesti bekerja kuat untuk memastikan calon kita menang dalam pilihan raya ini

"Kita amat yakin kita akan menang dalam pilihan raya ini," jelasnya sambil menambah semua calon yang bertanding menggunakan bendera yang sama iaitu bendera GRS.

Comment