KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menerima kunjungan hormat daripada Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu yang baharu, Bapak Noorman Effendi, di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini, kelmarin.
Dalam pertemuan itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada Noorman atas pelantikannya dan menzahirkan harapan agar hubungan diplomatik serta kerjasama dua hala antara Sabah dan Republik Indonesia terus diperkukuh.
Beliau berkata, Sabah amat menghargai hubungan baik dengan Indonesia yang sekian lama terjalin, terutama dalam bidang ekonomi, pelaburan, pendidikan dan tenaga kerja.
“Hubungan baik ini bukan sahaja perlu diteruskan, malah diperluaskan agar memberi manfaat bersama kepada rakyat di kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Hajiji dan Noorman turut membincangkan usaha memperkukuh jaringan hubungan rakyat dengan rakyat antara Sabah dan wilayah-wilayah di Indonesia yang mempunyai persamaan geografi serta budaya.

