KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan kejayaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 dicapai hasil sokongan padu dan komitmen penjawat awam dalam tempoh lima tahun beliau memimpin kerajaan negeri.
Beliau berkata, sepanjang lima tahun mentadbir kerajaan negeri dengan dukungan penjawat awam negeri dan Persekutuan, pengalaman itu sangat luar biasa dan amat bermakna.
“Kalau sebelum ini saya hanya menakhoda sebuah kementerian, tetapi sejak lima tahun lalu saya menakhoda sebuah kerajaan.
Ia satu pengalaman yang sangat menarik dan akan saya kenang selama-lamanya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini
Menurutnya, perkhidmatan awam di Sabah secara keseluruhan berfungsi dengan baik meskipun berhadapan p elbagai cabaran, tekanan dan ketidaktentuan, termasuk ketidakstabilan politik, pandemik, ketidaktentuan ekonomi dunia serta perubahan iklim yang memberi kesan terhadap kehidupan seharian rakyat.
“Semoga asas kukuh hasil pelaksanaan Hala Tuju SMJ 1.0 dapat kita lanjutkan bagi mencipta kejayaan lebih cemerlang dalam Hala Tuju SMJ 2.0 yang menanti untuk dilaksanakan,” katanya.
Hajiji berkata dalam tempoh lima tahun kepimpinannya, beliau meninjau serta melawat semua kementerian termasuk jabatan dan agensi di bawahnya bagi mendapatkan maklum balas dan laporan prestasi.
“Maklum balas dan aduan yang saya terima tidak semestinya positif. Ada wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan ketua kampung yang menyampaikan laporan pelbagai bentuk. Ada perkara yang saya berpuas hati dan ada yang mengecewakan, tetapi sebagai ketua, kita sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada pegawai bawahan,” katanya.
Sementara itu, beliau menyambut baik penganjuran konvensyen bersempena Hari Kualiti Sedunia yang menghimpunkan penjawat awam negeri dan Persekutuan, serta menyifatkannya tepat pada masanya.
Beliau menyeru penjawat awam agar terus memperkukuh modal insan dan kepakaran supaya kekal relevan dengan keperluan semasa abad ke-21 yang penuh cabaran dan berteknologi tinggi.
“Sebagai jentera kerajaan, penjawat awam ialah tunjang kepada sistem pentadbiran. Berpandukan etika kerja berhemah dan berintegriti, tugas mereka adalah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat mengikut prinsip ‘to serve the government of the day’.
“Hubungan baik antara penjawat awam dan kepimpinan kerajaan perlu dipelihara dan diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam konteks pembangunan modal insan, katanya, kerajaan negeri melalui Hala Tuju SMJ memberi penekanan kepada pendidikan, kemahiran dan pengukuhan perkhidmatan awam termasuk pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai 1 Disember 2024.
“Dengan unjuran perbelanjaan tambahan sebanyak RM150 juta, penjawat awam negeri akan menikmati kenaikan gaji antara tujuh hingga 15 peratus secara berfasa dari 2024 hingga 2026 mengikut kumpulan perkhidmatan.
“Beberapa bantuan khas juga disalurkan, termasuk pemberian sebulan gaji atau minimum RM3,000 pada Januari 2025, bantuan khas Hari Raya Aidilfitri RM500 dan bantuan khas Pesta Kaamatan RM500, menjadikan jumlah keseluruhan minimum RM4,000 iaitu yang tertinggi dalam sejarah bantuan kepada penjawat awam negeri,” katanya sambil menambah ini manifestasi penghargaan kerajaan terhadap komitmen tinggi penjawat awam.
Katanya, kerajaan turut memperkenalkan Insentif Percutian (i-Cuti) sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berkhidmat 20 tahun atau lebih bermula tahun ini, dengan penyertaan 8,757 pegawai melibatkan kos RM17.7 juta.
Hajiji berkata, perkhidmatan awam negeri akan terus diperkasa melalui persetujuan kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan penaiktarafan 5,537 jawatan sementara dan kontrak kepada jawatan tetap secara berfasa.
Beliau turut merujuk pengumuman Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet Nasional 2026 mengenai pemberian khas RM500 kepada penjawat awam Persekutuan menjelang Aidilfitri tahun depan.
“Insya-Allah, kerajaan negeri Sabah akan turut memberikan insentif serupa dalam Bajet Negeri 2026 nanti, malah kemungkinan besar lebih sedikit daripada angka itu bergantung kepada kemampuan kerajaan.
“Mudah-mudahan kerajaan ini beroleh mandat baharu daripada rakyat supaya kita dapat meneruskan khidmat bakti dan kesinambungan program pembangunan yang sedang berjalan,” katanya.

