Polis tahan pemandu e-hailing bersama 2.1 kilogram ekstasi
20:11 Nov 11, 2025  |  By SabahKini2
Polis tahan pemandu e-hailing bersama 2.1 kilogram ekstasi

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suspek berusia 25 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil membawa beg plastik merah sebelum ditahan sepasukan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

KOTA KINABALU: Seorang pemandu e-hailing ditahan selepas pihak polis menemukan beg berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat lebih dua kilogram dalam serbuan di hadapan sebuah kedai cermin mata di Luyang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suspek berusia 25 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil membawa beg plastik merah sebelum ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan terhadap beg yang dibawa suspek menemukan 95 paket kecil berwarna merah berlogo naga emas dan bertulisan Cina, mengandungi serbuk disyaki ekstasi dengan anggaran berat 2,100 gram.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah berkenaan mencecah RM76,000, suspek ditahan di lokasi selepas diperhatikan bertindak mencurigakan selama kira-kira 20 minit oleh pasukan serbuan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pemandu e-hailing dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif bahan terlarang jenis ketamin dan benzodiazepine. Dua telefon bimbit turut disita bagi membantu siasatan lanjut.

“Pemeriksaan susulan di rumah suspek di Luyang tidak menemukan sebarang barang salah lain, namun sebuah kereta jenis kompak turut disita,” katanya.

Tambahnua, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

Alhusin menegaskan, JSJN Sabah akan terus mempergiat risikan serta operasi bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini.

Comment