Sabah ada kuasa mutlak untuk tentukan kemasukan individu – Hajiji
20:09 Sep 23, 2025  |  By SabahKini2
Sabah ada kuasa mutlak untuk tentukan kemasukan individu – Hajiji

Dalam pada itu, Hajiji turut mengulas mengenai kelayakan menerima bantuan Skim Insurans Rakyat Sabah membabitkan 13 mangsa yang terkorban dalam kejadian bencana banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh dalam menentukan kemasukan individu ke negeri ini termasuk isu yang dibangkitkan oleh Albert Tei. 

"Kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak. 

"Tetapi tindakan hanya diambil setelah menerima laporan dan maklumat lengkap daripada pihak keselamatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan Mutiara, di sini hari ini. 

Sebelum ini, peguam kepada Albert Tei iaitu Ahli Perniagaan yang berdepan pertuduhan kes rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sabah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mendakwa, anak guamnya dihalang daripada memasuki Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), pada Isnin.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengulas mengenai kelayakan menerima bantuan Skim Insurans Rakyat Sabah membabitkan 13 mangsa yang terkorban dalam kejadian bencana banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.

Menurutnya, perkara berhubung kelayakan itu masih dalam semakan kelayakan  sama ada mereka layak menerima manfaat skim berkenaan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

"Saya sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menyalurkan bantuan berkaitan kematian daripada skim insurans tersebut. Jadi, saya akan semak dan pastikan sama ada mereka layak atau tidak,” katanya. 

Menurutnya, walaupun keputusan mengenai skim insurans itu masih diteliti, kerajaan telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa. 

“Daripada pihak kerajaan, kita sudah pun memberi bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah, iaitu RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia.

"Selain itu, kerajaan negeri juga menyalurkan sebanyak RM10,000,” jelasnya. 

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dibuat bagi memastikan sama ada skim insurans itu turut meliputi mangsa kejadian berkenaan. 

Comment