Pelbagai produk makanan sejuk beku bernilai RM656,000 dirampas PPM
16:09 Sep 19, 2025  |  By SabahKini2
Pelbagai produk makanan sejuk beku bernilai RM656,000 dirampas PPM

Dalam operasi jam 10 pagi itu, semua bahan makanan berkenaan yang dipercayai gagal mematuhi syarat penyimpanan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM656,197.

KOTA MARUDU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas 2,971 kotak makanan sejuk beku pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah premis di daerah ini, semalam.

Dalam operasi jam 10 pagi itu, semua bahan makanan berkenaan yang dipercayai gagal mematuhi syarat penyimpanan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM656,197.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, berkata serbuan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Veterinar.

Katanya, premis berkenaan dipercayai gagal mematuhi syarat penyimpanan makanan sejuk beku di bawah Akta Makanan 1983 dan Enakmen Haiwan 2015.

"Seorang lelaki berusia 70 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pengimportan dan penyimpanan makanan sejuk beku.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati semua barangan yang dirampas diimport dari negara tidak diiktiraf," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Makanan 1983 dan Enakmen Haiwan 2015.

Sehubungan itu, Nazri berkata, PPM Wilayah 4 sentiasa komited dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan.

Katanya, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.

Comment