Hentikan Spekulasi: Tiada Penglibatan VVIP dalam Kes Zara Qairina
22:08 Aug 02, 2025  |  By SabahKini2
Hentikan Spekulasi: Tiada Penglibatan VVIP dalam Kes Zara Qairina

"Anak guam kami (ibu Zara) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu berprofil tinggi. Sebarang andaian atau dakwaan seperti itu adalah tidak berasas,” Polis juga..

Pihak keluarga dan polis menegaskan bahawa tiada sebarang penglibatan individu berprofil tinggi (VVIP) dalam kes kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, yang meninggal dunia di Sekolah Menengah Agama Tun Mustapa, Limauan, Papar, baru-baru ini.

Penegasan itu dibuat susulan tularnya pelbagai dakwaan dan spekulasi tidak berasas di media sosial, termasuk tuduhan kononnya anak-anak menteri, kerabat Istana Negeri Sabah dan pelajar-pelajar VVIP terlibat dalam insiden tersebut. Pihak keluarga melalui peguam mereka, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, tampil menolak sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.

“Anak guam kami (ibu Zara) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu berprofil tinggi. Sebarang andaian atau dakwaan seperti itu adalah tidak berasas,” tegas kenyataan yang mewakili ibu Zara, Puan Noraidah Lamat.

Kenyataan itu turut menafikan dakwaan wujudnya insiden teriakan “kau pembunuh” oleh pelajar kepada mana-mana individu semasa hari kejadian. Malah, maklumat yang tersebar berkaitan pelajar tertentu yang dipindahkan selepas insiden itu juga tidak datang daripada pihak keluarga, sebaliknya diketahui hanya selepas ia tular.

Peguam turut menggesa agar semua pihak menghentikan penyebaran dakwaan yang tidak sahih dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.

“Tindakan menyebarkan maklumat palsu boleh mengganggu siasatan polis serta mencemarkan nama baik individu yang tidak terlibat,” kata mereka.

Polis nafi anak VIP

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka menegaskan bahawa siasatan awal tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan penglibatan anak-anak VVIP atau pihak istana dalam kes ini.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Kami menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan proses keadilan.

 

Siasatan di Fasa Akhir: Polis panggil 60 saksi

Sementara itu pada 31 Julai lalu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dalam sidang medianya mendedahkan bahawa siasatan kini berada di fasa akhir dengan lebih 60 keterangan saksi telah dirakam, melibatkan pelajar, ibu bapa, dan kakitangan sekolah.

“Siasatan merangkumi dua aspek utama iaitu punca kematian dan persekitaran mangsa, dan kita tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa siasatan telah dibawa ke Bukit Aman untuk penelitian akhir sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Mengulas spekulasi tular mengenai dakwaan keluarga VVIP terlibat termasuk anaknya beliau menafikannya dengan tegas:

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Ia tidak benar dan boleh menjejaskan integriti siasatan.”

 

Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha bukan pilihan VVIP

Sementara itu melihat kepada kedudukan Sekolah Menengah Agama Tun Mustapa juga bukanlah sekolah yang lazimnya menjadi pilihan kepada pelajar dari kalangan keluarga VVIP, sekali gus menjadikan spekulasi tersebut tidak berasas.

Dalam usaha mencari keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina, semua pihak diminta memberi ruang sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan. Penyebaran maklumat palsu dan fitnah bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menjejaskan proses keadilan dan mencederakan reputasi mereka yang tidak bersalah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat sahih berkenaan kes ini digesa untuk menyalurkannya terus kepada pihak polis.

 

Comment