Polis tahan warga asing larikan motosikal pengawal keselamatan
22:07 Jul 30, 2025  |  By SabahKini2
Polis tahan warga asing larikan motosikal pengawal keselamatan

Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 12.31 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki melarikan sebuah motosikal milik seorang pengawal keselamatan yang dipinjamnya di Semporna, dalam serbuan, tengah malam tadi.

Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 12.31 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan mengenai kejadian ini daripada mangsa.

Katanya, kejadian berlaku di Semporna apabila suspek memperdaya mangsa yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dengan berpura-pura mahu meminjam motosikal milik rakan sekerja mangsa.

“Disebabkan rakan sekerjanya belum tiba, suspek kemudian meminta meminjam motosikal milik mangsa sendiri sekitar jam 9.30 pagi.

“Mangsa yang menyangka suspek mempunyai niat baik menyerahkan kunci motosikal jenis Modenas miliknya, namun suspek gagal memulangkannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu, membuat laporan di Balai Polis Semporna selepas motosikal itu tidak dikembalikan.

Bertindak atas maklumat, katanya, sepasukan polis dari IPD Tawau berjaya mengesan suspek dan merampas semula motosikal terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai masuk ke negara ini secara haram.

“Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati serta tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali, terutama dalam urusan membabitkan harta benda.

Comment