Polis tahan lelaki warga asing bawa syabu bernilai RM74,500
17:07 Jul 29, 2025  |  By SabahKini2
Polis tahan lelaki warga asing bawa syabu bernilai RM74,500

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 9.30 pagi, hasil risikan dan maklumat awam.

TAWAU: Hasrat seorang lelaki warga asing membawa keluar dadah jenis syabu bernilai lebih RM74,000 ke negaranya gagal selepas ditahan polis dalam serbuan di Jalan Pelabuhan, di sini, Jumaat lalu.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 9.30 pagi, hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semasa ditahan, suspek berada dalam keadaan mencurigakan sambil membawa sebuah beg galas berwarna hitam jenama ‘Camel Mountain’.

“Pemeriksaan ke atas beg berkenaan menemukan dua bungkusan plastik berwarna keemasan yang masing-masing mengandungi paket lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Jumlah rampasan dianggarkan seberat 2,062 gram dan bernilai sekitar RM74,500,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai menyusup masuk ke Malaysia melalui laluan tidak sah pada 21 Julai lalu.

“Suspek dipercayai datang khas ke Tawau hanya untuk mengambil bekalan dadah sebelum membawanya pulang ke Sulawesi Tengah, Indonesia melalui jalan tikus. Dia mengaku diupah oleh individu tertentu untuk membawa pulang dadah ini ke negara asal dengan bayaran sekitar 15 juta Rupiah (lebih RM3,000),” katanya.

Jasmin berkata, siasatan juga mendapati suspek pertama kali masuk ke Malaysia dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap di negara asalnya.

“Hasil ujian air kencing juga menunjukkan suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah dan kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Ogos ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis percaya sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan daerah ini sebagai lokasi transit sebelum barang terlarang itu diseludup ke negara jiran.

“Polis Tawau akan terus agresif membanteras jenayah pengedaran dadah dan setakat tahun ini, lebih 30 kilogram dadah berjaya dirampas di daerah ini. Kita juga sedang memburu rangkaian sindiket yang terbabit dalam kes ini dan menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya.

Comment