KINABATANGAN: Daerah Kinabatangan bakal melakar sejarah pembangunan luar bandar menerusi projek mega Bandar Seri Milian yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan seimbang di kawasan Pantai Timur Sabah.
Projek pembangunan bercampur seluas 157.48 ekar itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Majlis Daerah Kinabatangan dan syarikat pemaju tempatan tanpa melibatkan sebarang kos kepada kerajaan mahupun cagaran terhadap tanah milik pihak berkuasa tempatan.
Majlis pecah tanah projek berimpak tinggi itu dijadualkan pada 15 Ogos depan, di Dataran Terminal Terbuka, Pekan Kota Kinabatangan dan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan Lamag, Johainizamshah Johari berkata, projek Bandar Seri Milian akan dilaksanakan tiga fasa dalam tempoh 15 tahun dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM366 juta.
Katanya, projek ini bukan sahaja merangkumi pembinaan rumah moden dan mampu milik, malah akan melibatkan pembinaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, pusat pentadbiran baharu Majlis Daerah Kinabatangan, institusi pendidikan, dewan masyarakat, kawasan rekreasi, zon komersial dan industri ringan.
“Ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi satu simbol bahawa kerajaan negeri benar-benar serius mahu membawa perubahan menyeluruh kepada luar bandar seperti Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan media.
Johainizamshah berkata, inisiatif pembangunan itu juga selari dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar serta menjamin kesejahteraan rakyat secara inklusif.
“Kepimpinan Ketua Menteri menunjukkan komitmen jelas untuk memastikan rakyat Kinabatangan tidak terus ketinggalan daripada arus kemajuan dan pembangunan moden.
“Bandar Seri Milian bakal menjadi nadi baharu pembangunan luar bandar dan seterusnya membuka pelbagai ruang keusahawanan serta peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Menurutnya, kekuatan projek ini juga terletak pada keupayaan pemaju yang menggunakan sepenuhnya sumber kewangan sendiri, tanpa menuntut sebarang bebanan kewangan daripada kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan.
“Saya yakin dengan pengalaman dan rekod prestasi pemaju dalam pembangunan berskala besar, pelaksanaan projek ini akan berjalan lancar dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat,” katanya.
Johainizamshah turut menyifatkan projek Bandar Seri Milian sebagai pelaburan strategik untuk masa depan yang diyakini mampu mengubah wajah Kinabatangan menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu di Pantai Timur Sabah.
“Dengan adanya pembangunan seperti ini, kita bukan hanya mencipta peluang, tetapi juga menjamin masa depan anak-anak muda Kinabatangan,” katanya.