KOTA KINABALU: Kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini telah membuka peluang kepada Sabah untuk menarik pelabur.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, landasan undang-undang itu memberi keyakinan yang diperlukan oleh pelabur, tetapi peluang yang lebih besar terletak dalam kerjasama ASEAN.
"Untuk memperkembangkan ruang ini, kita memerlukan pasaran karbon serantau yang berfungsi. Itu bermakna taraf yang seragam, penjajaran peraturan dan pengiktirafan bersama kredit karbon rentas sempadan. Sistem yang berpecah-belah hanya akan melambatkan pelaburan.
“Sabah bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk menggerakkan agenda ini ke hadapan. Hutan kita sudah pun memainkan peranan mereka. Kini rangka kerja perlu seiring,” katanya semasa Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan ASEAN 2025, di sini hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, Enakmen itu menubuhkan Majlis Tindakan Iklim Sabah, Tabung Iklim, inventori pelepasan karbon peringkat negeri dan satu kerangka perkongsian manfaat, khususnya kepada komuniti pribumi.
“Hak karbon kini telah disahkan sebagai milik kerajaan negeri dan aktiviti berkaitan karbon daripada kelulusan projek hingga perdagangan kredit kini akan ditadbir melalui struktur yang jelas dan boleh dikuatkuasakan,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa Sabah kini merupakan sebuah bidang kuasa dengan status penyerapan lebih banyak karbon berbanding yang dilepaskan.
“Kita antara bidang kuasa di dunia yang memiliki status ini, dan dianggarkan bahawa Sabah sahaja menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah keseluruhan penyerapan karbon Malaysia. Ini bukan sekadar penanda aras alam sekitar. Ia adalah aset ekonomi strategik.
"Dalam dunia yang terhad karbon, ia merupakan kelebihan daya saing yang tidak boleh kita abaikan,” katanya.
Hajiji berkata, sektor perhutanan adalah teras kepada ekonomi, alam sekitar dan masa depan Sabah.
“Di bawah pelan pembangunan kerajaan negeri, iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kita telah memasukkan perhutanan mampan ke dalam strategi pertumbuhan jangka panjang.
“Pada 2022, kita memperkenalkan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan, satu pelan induk tempoh 15 tahun untuk memulihkan 400,000 hektar hutan terosot. Inisiatif ini bukan sekadar penanaman semula pokok, ia bertujuan menjamin bekalan kayu yang mampan, mewujudkan pekerjaan hijau, dan memperkukuh ekonomi luar bandar.
“Untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, komitmen berterusan daripada pemegang lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU) amat diperlukan, disamping kerjasama erat dengan Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji menggesa semua pemegang lesen FMU agar memenuhi tanggungjawab mereka manakala Jabatan Perhutanan Sabah perlu memperkukuh peranannya dalam memantau kemajuan dan memastikan pelaksanaan kekal di landasan.
Katanya, apabila direalisasikan sepenuhnya, pelan itu dijangka menyumbang lebih RM11 bilion kepada KDNK Sabah dan mewujudkan 40,000 pekerjaan di sepanjang rantaian nilai.
Beliau berkata, sektor kayu kekal sebagai sektor strategik bagi Sabah, dengan hasil royalti kayu meningkat kepada RM171 juta pada 2024, dengan peningkatan RM16 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Jumlah eksport juga menunjukkan peningkatan berterusan, terutamanya ke Jepun, Amerika Syarikat dan Taiwan. Sasaran kita jelas iaitu mengurangkan kebergantungan kepada hutan semula jadi dan memperluas pengeluaran kayu secara mampan berasaskan ladang,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa Sabah, sebagai pengeluar utama minyak sawit mentah (CPO) di Malaysia, menyumbang lebih 25 peratus daripada pengeluaran nasional, juga sedang menerajui kepimpinan dalam industri sawit.
“Pada 2024, pengeluaran CPO Malaysia mencecah 19.3 juta tan, jumlah tertinggi dalam tempoh enam tahun dan permintaan global kekal kukuh. Kita memanfaatkan kelebihan ini untuk menarik pelaburan dalam pemprosesan hiliran, biofuel dan inovasi berasaskan sawit.
"Kemudahan seperti Palm Oil Industrial Cluster di Lahad Datu dan Sipitang Oil and Gas Industrial Park telah meletakkan Sabah sebagai hab bagi pembuatan tambah nilai dan pembangunan biojisim, menjadikannya pemacu transformasi. Perhutanan dan iklim kini menjadi teras kepada strategi ekonomi bagi Sabah, Malaysia dan ASEAN.
"Sidang kemuncak ini mencerminkan perubahan itu. Kita tidak lagi menganggap kemampanan sebagai pilihan, ia kini merupakan asas kepada cara kita mencipta pekerjaan, menarik pelaburan dan memperkukuh daya tahan,” katanya.
Secara ringkas, Hajiji menyatakan bahawa dengan undang-undang yang jelas, institusi yang kukuh dan Pelan Hala Tuju SMJ sebagai panduan pelaksanaan, Sabah berada dalam kedudukan terbaik untuk menyertai pasaran karbon.
“Hutan dan komuniti kita telah pun memainkan peranan penting dalam penyerapan karbon, perlindungan biodiversiti dan penggunaan mampan tetapi kita tidak mampu melakukannya sendiri.
“Kita mengalu-alukan mereka yang membawa modal, kepakaran dan kerjasama jangka panjang dari ASEAN dan seluruh dunia. Laburlah di Sabah. Anda sedang melabur dalam sebuah negeri yang stabil, strategik dan komited terhadap masa depan hijau,” katanya.
Sidang Kemuncak ini dianjurkan bersama oleh Institut Strategik KSI, Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi ASEAN, dan menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan dan pakar alam sekitar dari seluruh Asia Tenggara untuk menangani keperluan mendesak bagi kehutanan yang lestari dan ketahanan iklim.