KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), menghadiri Majlis Jamuan Makan Tengah Hari bersama pemimpin dan perwakilan sempena Persidangan Agung Tahunan 2025 parti itu di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini.
Majlis yang berlangsung di Dewan Sipadan itu menghimpunkan kepimpinan utama dan perwakilan dari seluruh negeri sebagai pembuka gelanggang kepada persidangan selama tiga hari yang dijadualkan bermula hari ini hingga Ahad.
Majlis turut diserikan dengan sesi Perkongsian Pencapaian dan Hala Tuju Industri Minyak dan Gas Sabah yang disampaikan oleh Menteri Kewangan Negeri merangkap Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.
Majlis jamuan itu menjadi platform penting untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim antara barisan kepimpinan tertinggi dengan akar umbi parti, menjelang persidangan yang dijangka membincangkan pelbagai isu penting termasuk pembangunan negeri, pengukuhan struktur organisasi serta kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya yang akan datang.
Terdahulu pada sebelah pagi, Hajiji turut meluangkan masa menghadiri Seminar Penerangan Siri 3 yang turut berlangsung di Dewan Sipadan, SICC.
Antara yang hadir ialah Naib-Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Datuk Rubin Balang dan Datuk Masiung Banah; Ketua Pergerakan Wanita Negeri Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pemuda Negeri Datuk Fairuz Renddan, Ketua Beliawanis Negeri Emmie Datuk Martin Idang, Setiausaha Agung Datuk Mohd. Razali Razi, Bendahari Agung Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar, Ketua Penerangan Negeri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta barisan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu.