RANAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya merampas kayu balak tanpa permit dan menahan dua treler yang membawa muatan berkenaan dalam satu serbuan di Kampung Rondogung, di sini.
Komander PGA Briged Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dijalankan sepasukan anggota Cawangan Risik/Task Force Batalion 21 PGA Keningau bersama Jabatan Perhutanan Sabah cawangan Ranau menerusi Op Bersepadu Khazanah.
Katanya, serbuan diketuai Inspektor Shariff Lamuin selepas pasukan operasi mengesan pergerakan mencurigakan dua treler dari arah Jalan Tambunan-Ranau.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua treler itu membawa 59 batang kayu balak pelbagai jenis tanpa sebarang dokumen sah.
“Kayu-kayu berkenaan dipercayai dipindahkan tanpa permit yang sah dan melanggar syarat Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, kedua-dua treler dipandu oleh dua lelaki tempatan masing-masing berusia 43 dan 59 tahun yang turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kayu-kayu itu dibawa dari kawasan Kuala Tomani, Tenom dan dipercayai akan dihantar ke sebuah kilang papan di Lohan, Ranau.
“Nilai rampasan kayu balak dianggarkan sebanyak RM1.189 juta, manakala dua treler terbabit dianggarkan bernilai RM1.491 juta dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2.68 juta,” katanya.
Katanya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk tindakan lanjut.
“Kes kini disiasat mengikut Enakmen Hutan Sabah 1968 kerana memiliki dan mengangkut hasil hutan tanpa dokumen yang sah.
“PGA bersama agensi penguatkuasaan lain akan terus mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap aktiviti pembalakan haram.
“Usaha ini bagi memastikan tiada sebarang pembolosan, penyelewengan atau penyeludupan hasil hutan di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, Op Bersepadu Khazanah akan diteruskan secara berkala di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas pembalakan haram.
Beliau turut menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pembalakan mencurigakan kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam memelihara hasil khazanah hutan negara daripada terus dicerobohi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, PGA turut menekankan komitmen berterusan mereka dalam menangani jenayah rentas sempadan melibatkan hasil bumi dan sumber asli negara.
Operasi bersepadu seumpama itu adalah antara strategi penting yang digariskan dalam Pelan Strategik PGA Briged Sabah dalam mengekang pencerobohan hutan dan kegiatan haram berkaitan sumber asli.