KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, membayangkan akan mengumumkan sesuatu yang 'besar' pada Ahad ini membabitkan hala tuju Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ia dijangka berkaitan usul bagi menghadapi PRN17 yang bakal dibangkitkan pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat dengan perasmiannya bakal disempurnakan sendiri Hajiji selaku presiden parti itu.
"Ya, tunggu saja ucapan saya pada Ahad nanti," katanya ditemui selepas merasmikan Seminar Penerangan Gagasan Rakyat sempena Perhimpunan Agung Tahunan parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Seminar ini disertai kira-kira 400 Ketua Penerangan dari 74 bahagian, termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat.
Hajiji ditanya mengenai kemungkinan sebarang usul besar berkaitan hala tuju Gagasan Rakyat menjelang PRN17 diputuskan pada persidangan itu yang bermula dengan persidangan peringkat sayap parti esok. Sebelum ini, rakan kerjasama Gagasan Rakyat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan sokongan agar gabungan parti tempatan itu bergerak secara solo pada PRN17 nanti.
Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), yang juga parti komponen GRS dalam konvensyen bersama mereka baru-baru ini, menyatakan sokongan agar GRS bertanding solo.
Hajiji bagaimanapun masih berdiam diri berhubung perkara itu, sebaliknya menyatakan perbincangan GRS-Pakatan Harapan (PH) bakal diputuskan tidak lama lagi.
Beliau sebelum ini turut menyebut mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN17 yang bakal diumumkan selepas Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat dan ada kemungkinan juga tarikhnya bakal disebut dalam ucapannya Ahad ini.
Mengenai seminar tertutup hari ini, Presiden Gagasan Rakyat itu berkata ia adalah perjumpaan ketua penerangan Gagasan Rakyat dari semua bahagian dan peringkat parti itu.
"Hari ini kita mulakan persidangan dengan berjumpa ketua-ketua penerangan parti daripada setiap bahagian dan semua peringkat.
"Kita gerakkan jentera bagi penjelasan perjuangan parti apa yang telah dilakukan dan dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini. Itu mesti diterangkan kepada rakyat," katanya.
Hajiji berkata seminar itu bagi memastikan pemimpin Gagasan Rakyat di semua bahagian dan peringkat menggiatkan jentera bagi menghadapi PRN17.