Hajiji yakin hubungan strategik Sabah dan China perkukuh inisiatif pembangunan
17:06 Jun 18, 2025  |  By SabahKini2
Hajiji yakin hubungan strategik Sabah dan China perkukuh inisiatif pembangunan

Hajiji turut menekankan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur bagi menarik lebih banyak syarikat China untuk melabur di Sabah, khususnya di kawasan perindustrian strategik.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin hubungan strategik antara Sabah dan Republik Rakyat China akan terus diperkukuhkan menerusi hubungan diplomatik serta pelbagai inisiatif pembangunan bersama.

Ketua Menteri berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu yang baharu, Dr. Zhu Xinglong di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Hajiji mengucapkan tahniah atas pelantikan Dr. Zhu dan mengalu-alukannya bertugas di Sabah. 

"Saya percaya kehadiran Dr. Zhu akan memberi lonjakan baharu kepada kerjasama dua hala yang lama terjalin antara Sabah dan China, terutamanya dalam sektor pelaburan, perdagangan, pelancongan, pendidikan dan lain-lain," katanya.

Hajiji turut menekankan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur bagi menarik lebih banyak syarikat China untuk melabur di Sabah, khususnya di kawasan perindustrian strategik.

Kunjungan sulung itu adalah lawatan pengenalan Dr. Zhu sejak dilantik sebagai Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, menggantikan penyandang terdahulu, Dr. Huang Shifang.

Comment