Sabah Development Bank Saman Ernst Young PLT: Dakwa Penipuan Audit Sebabkan Kerugian RM1.97 Bilion
05:06 Jun 18, 2025  |  By SabahKini2
Sabah Development Bank Saman Ernst  Young PLT: Dakwa Penipuan Audit Sebabkan Kerugian RM1.97 Bilion

Ernst & Young PLT mengetahui kemerosotan nilai sebenar yang perlu direkodkan sejak 2017, tetapi gagal menasihati SDB & menggunakan “Perakaunan kreatif” menipu SDB kononnya mencatat untung. Ketika Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri pinjaman tidak bayar ...

Bank milik penuh kerajaan negeri Sabah, Sabah Development Bank Berhad (SDB), mengesahkan bahawa ia telah memfailkan saman sivil terhadap firma audit antarabangsa Ernst & Young PLT (EY) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penipuan audit dan kecuaian profesional yang didakwa berlaku sepanjang tahun kewangan 2017 hingga 2022.

Saman itu difailkan oleh pihak SDB melalui tindakan guaman bernombor WA-22NCvC-168-03/2025, dengan tuntutan kerugian yang dilaporkan mencecah hampir RM1.975 bilion – menjadikannya antara saman audit terbesar pernah difailkan oleh institusi kewangan milik kerajaan negeri terhadap firma audit global.

Audit Berturut-turut Dilakukan EY – Tetapi Bank Sebenarnya Rugi

EY dilantik secara berterusan sebagai juruaudit luar kepada SDB sejak tahun 2017, meliputi era pentadbiran Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Shafie Apdal, namun hanya selepas Kerajaan GRS mengambil alih pentadbiran negeri dan pengurusan baharu dilantik di SDB, kerugian sebenar berjaya didedahkan dan bongkar.

Menurut kenyataan tuntutan yang difailkan di mahkamah, EY dikatakan telah:

  • Menyediakan laporan audit yang menyatakan SDB mencatat keuntungan konsisten antara 2017 hingga 2022 berjumlah lebih RM680 juta;
  • Tetapi audit 2023 mendedahkan kerugian sebenar sebanyak RM878 juta, diikuti kerugian unjuran lebih RM100 juta pada 2024;
  • Dividen sebanyak RM177 juta diisytiharkan dalam tempoh tersebut – berdasarkan data kewangan yang dikatakan “mengelirukan”.

 

Tuduhan Terhadap Ernst & Young PLT

Dalam pernyataan tuntutan setebal 100 muka surat, SDB mengemukakan 17 butiran utama kecuaian audit EY, antaranya:

  • Kegagalan mengesan “pinjaman tidak bayar” (non-performing loans) bernilai lebih RM2.2 bilion,
  • Kelemahan kawalan dalaman dan kegagalan mengenal pasti risiko kredit,
  • Penggunaan laporan penilaian cagaran lapuk, yang menyebabkan nilai aset disalah anggar,
  • Audit dijalankan tanpa skeptisisme profesional, dan
  • “Perakaunan kreatif” yang menutup kelemahan sebenar melalui "penghijauan pinjaman" (evergreening).

EY juga dituduh mengetahui kemerosotan nilai sebenar yang perlu direkodkan sejak 2017, tetapi gagal menasihati SDB agar membuat penyisihan sewajarnya – kononnya bagi memastikan imej kewangan bank kekal positif demi bon dan pinjaman pasaran.

SAMAN SAMAN PENUH SDB KEPADA ERNST & YOUNG PLT BOLEH DIRUJUK DI SINI

Sabah Development Bank Berhad (SDB), mengesahkan bahawa ia telah memfailkan saman sivil terhadap firma audit antarabangsa Ernst & Young PLT (EY)

 

Tindakan Tegas GRS dan Menteri Kewangan Negeri

Pada Ogos 2024, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, mendedahkan bahawa hasil audit bebas tahun 2023 menunjukkan kerugian besar yang tidak selari dengan gambaran audit EY terdahulu. Masidi mendedahkan ia sebuah salah urus, penipuan "perakaunan kreatif"

ARTIKEL BERKAITAN - Salah urus, penipuan "perakaunan kreatif" era Shafie Apdal dan Warisan punca SDB rugi hampir RM1 bilion

Kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan turut menghantar surat rasmi kepada Lembaga Pemantauan Audit (AOB) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Jabatan Audit Negara untuk menyiasat peranan EY sebagai juruaudit entiti kepentingan awam.

 

SDB Mahu Ganti Rugi dan Tindakan Undang-undang Terbuka

SDB menegaskan bahawa tuntutan mereka terhadap EY melibatkan isu kepentingan awam, kerana dana SDB disokong oleh bon kerajaan negeri, manakala pelanggan dan peminjam bank terdiri daripada entiti pembangunan kritikal di Sabah.

Tuntutan RM1.97 bilion itu merangkumi:

  • Dividen yang diisytiharkan berdasarkan penyata palsu,
  • Kerugian akibat pinjaman tidak berbayar yang tidak dikenalpasti,
  • Dan kos kewangan serta cukai yang dibayar berdasarkan data tidak tepat.

Sabahkini2 dalam beberapa siri pendedahan mengenai Sabah Development Bank Berhad (SDB) sebelum ini telah menunjukkan banyak penyelewengann oleh pengurusan terdahulu. Shafie Apdal yang ghairah mendedahkan mengenai pinjaman bank tidak berbayar SDB kantoi apabila ketika dia menjadi Ketua Menteri beliau melupuskan RM178 juta hutang CASH Bhd milik Datuk Ambrose Lee dan peminjam NPL diberi hutang baru. 

ARTIKEL BERKAITAN- SD Bank: Terbongkar Shafie luluskan Sukuk RM10B, lupus RM178 juta hutang CASH Bhd milik Datuk Ambrose Lee, peminjam NPL diberi hutang baru!

 

SD Bank: Terbongkar Shafie luluskan  Sukuk RM10B, lupus RM178 juta hutang CASH Bhd milik Datuk Ambrose Lee,  peminjam NPL diberi hutang baru!

 


Pendedahan syarikat Dato' Ambrose Lee- selepas ini Sabahkini2 akan dedah semua nama-nama
syarikat senarai awam dan sendirian berhad yang hutang NPL dilupus oleh Shafie Apdal

 

 

Kesimpulan

Kes ini membuka lembaran baharu terhadap akauntabiliti audit dalam institusi milik kerajaan, dan mencabar kepercayaan terhadap firma audit antarabangsa dalam mengendalikan pelaporan entiti pembangunan negeri. Pihak SDB kini bertekad mendapatkan keadilan melalui Mahkamah Tinggi, dan menuntut pertanggungjawaban penuh atas apa yang dilihat sebagai penipuan profesional yang sistematik dan berlarutan selama 6 tahun.

Kes ini akan didengar hari ini (18 Jun 2025) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. SPRM nampaknya sudah boleh bersiap sedia membuka fail kes ini.

 

14 Comments